Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão bagi menghadiri Majlis Persantapan Rasmi bagi meraikan lawatan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste.
Berangkat sama pada Majlis Persantapan Rasmi yang berlangsung di Baiturrrahmah, Istana Nurul Iman berkenaan ialah kerabat diraja dan delegasi rasmi Republik Demokratik Timor-Leste.
Majlis Persantapan Rasmi dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan mengurniakan titah.
Sementara itu, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão dalam ucapan balas menyembahkan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor-Leste pada tahun 2024 akan tetap dikenang dan dihargai.
Tuan Yang Terutama menyembahkan, keberangkatan tersebut mencerminkan hubungan kukuh yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Negara Brunei Darussalam (NBD) memainkan peranan penting di rantau ini. Dengan kepimpinan bijaksana dan komitmen Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada ASEAN, NBD menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran di seluruh Asia Tenggara," sembah TYT.
TYT seterusnya menyembahkan, keahlian Republik Demokratik Timor-Leste dalam ASEAN merupakan aspirasi yang telah lama diimpikan untuk direalisasikan. Sebagai Ahli ASEAN sembah TYT lagi, Republik Demokratik Timor-Leste kini menjadi sebahagian daripada komuniti ekonomi dan strategik serantau dan komited dalam menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2029, sembah TYT, Republik Demokratik Timor-Leste berharap untuk bekerjasama rapat dengan NBD dalam usaha menuju kepada pencapaian penting bagi Republik Demokratik Timor-Leste.
“Republik Demokratik Timor-Leste menghargai persahabatan yang ditunjukkan oleh NBD dan sokongan berterusan yang diberikan. Terima kasih atas layanan mesra kepada saya dan delegasi sepanjang lawatan rasmi ini," sembah TYT.
Hubungan diplomatik antara NBD dan Republik Demokratik Timor-Leste telah terjalin secara rasmi pada 20 Mei 2002. Kedua-dua buah negara menikmati hubungan dua hala yang erat dan mesra dan terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan, pembangunan kapasiti, kesihatan, tenaga dan pertukaran antara rakyat.
Lawatan rasmi ini mencerminkan persahabatan yang berpanjangan dan komitmen untuk mempertingkatkan hubungan dua hala dan kerjasama serantau, khususnya dalam rangka kerja ASEAN.
